Sabtu, 19 Februari 2011

P'raya Kerdau serentak dengan Merlimau




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan pada 6 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari, yang diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof malam ini dalam sidang media di Kuching.

Pilihan raya Kerdau diadakan ekoran penyandangnya Zaharuddin Abu Kassim daripada BN yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.

Ia merupakan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. 

Ia juga pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Dalam pilihan raya umum lalu Zaharuddin menang kerusi DUN Kerdau dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.

PAS Umum Calon PRK Kerdau Dan Merlimau Khamis Ini


PAS umum calon Khamis ini


ALOR SETAR 19 Feb: PAS akan mengumumkan calon untuk bertanding pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang serentak dengan nama calon bagi DUN Merlimau, Melaka Khamis ini.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata nama calon bagi DUN Kerdau akan diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan nama calon DUN Merlimau.
"Walaupun masa agak suntuk kerana SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) baru menetapkan pilihan raya kecil Kerdau diadakan serentak dengan Merlimau semalam,tapi tiga nama telah disenarai pendek untuk Kerdau.
"PAS dah kenal pasti nama-nama ini dari awal lagi dan apabila berlaku kematian, PAS teliti semula nama-nama ini sebelum disenarai pendek," katanya kepada pemberita pada Perhimpunan 30,000 Pemuda PAS di Kota Sarang Semut dekat sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata PAS akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membincangkan mengenai pilihan raya kecil DUN Kerdau.
"Persiapan dilipatgandakan di peringkat unit peti undi dan semua lokaliti dan PAS berharap dapat memperbaiki jumlah majoriti dan dapat keputusan lebih baik," katanya.
Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari Barisan Nasional (BN) pada 12 Februari lepas. Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.
Sementara itu, kerusi Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Januari lepas.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Mohamad Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.
Semalam SPR menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau dan DUN Merlimau diadakan serentak pada 6 Mac ini, manakala tarikh penamaan calon bagi kedua-dua DUN itu ditetapkan pada 26 Februari ini.

BERSIH 2.0

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...