Isnin, 12 Disember 2011

Negara Berkebajikan: PAS mahu rakyat jadi tuan


| Print |
Muhammad Faizal   
SHAH ALAM, 11 Dis: Konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat.

Bercakap sewaktu melancarkan buku 'Negara Berkebajikan: Tawaran PAS' di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini,  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran.

"Kita ingin mengubah konsep sekarang yang mana kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan untuk diniagakan, segala sumber pendapatan negara diambil melalui rakyat mengikut cukai-cukai yang ditetapkan.

"Kerajaan adalah khadam kepada rakyat, pemimpin adalah pemegang amanah jadi kita mahu hak rakyat dikembalikan mengikut saluran yang betul," katanya.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa.

"Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan konsep negara berkebajikan ini juga akan menjadi menifesto pada pilihanraya yang akan datang dan ia selaras dengan kesepakatan di dalam Buku Jingga.

Tawar 10 agenda

Dalam buku itu juga, PAS memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.

Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Mudah-mudahan ia akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.

"Jika rakyat menilai secara jelas negara kebajikan ini maka ia akan melancarkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya nanti," kata Abdul Hadi.

Sabtu, 10 Disember 2011

Orang akan kata, lagi-lagi peneroka yang kena


| Print |
Khairil Abdul Rahim   
BANDAR TUN RAZAK JENGKA, 9 Dis:Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Dr Rosli Yaakob mengingatkan agar pihak peneroka Felda tidak ghairah apabila diumumkan agensi itu akan disenarai di bursa saham sebaliknya mengambil iktibar nasib peneroka-peneroka di Felda Sendayan dan Felda Labu di Negeri Sembilan setelah terlepas ke pihak lain.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu, sebaliknya mengingatkan bahawa tanah merupakan sumber ekonomi mereka dan tidak sepatutnya dibiarkan memasuki perniagaan berisiko yang mungkin boleh terlepas kepada orang luar.

“Lihat apa jadi dengan peneroka-peneroka Felda Labu dan Sendayan yang pada satu ketika begitu ghairah untuk menjadi jutawan lalu tanah mereka dijual, bagaimana dengan nasib mereka?

“Ada yang menjadi kuli, ada yang terpaksa jadi pemandu teksi dan sebagainya jadi biarlah pelihara tanah Felda yang selama ini menjadi tempat orang-orang melayu bergantung hidup jadi apa perlunya dicagarkan untuk bermain saham.

“Tak wajar tanah Felda menjadi pertaruhan kerana tanah adalah sumber ekonomi kalau tergadai kepada kapitalis pemain saham yang rakus, yang biasanya menguasai sehingga 30%. Berapa banyak tanah-tanah yang telah tergadai sebab sesiapa saja boleh beli, “ jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program pelancaran ‘Gerakan Selamatkan Felda’ peringkat kebangsaan di perkarangan Masjid Lama Bandar Jengka, malam tadi.

Turut berceramah ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), Razman Zakaria.

Kira-kira 6,000 hadir mendengar program yang diadakan bagi memberi penerangan dan risiko kepada warga Felda mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke dalam Bursa Saham Malaysia sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

Dr Rosli berkata, jangan ingat semua projek kerajaan boleh berjaya walaupun diberi jaminan. Tambahnya ini terbukti dengan projek lembu NFC yang sedang hangat dibicarakan sekarang, yang konon pada mulanya mahu jadikan Gemas sebagai ‘beef valley’ atau lembah lembu.

“Di Negeri Sembilan saja berapa banyak projek kerajaan yang gagal antaranya projek tebu di Ayer Hitam, gagal. Pada Masa (Tan Sri) Isa Samad juga ada projek yang gagal iaitu
ladang babi terbesar di Bukit Pelandok,  Negeri Sembilan tetapi gagal membawa keuntungan bahkan hanya meninggalkan penyakit Japanese Encephalitis (JE) sahaja,” katanya.

Justeru Dr Rosli mahu semua warga Felda bersatu dengan apa cara sekalipun menghalang Felda daripada disenaraikan di bursa saham walaupun dijanjikan dengan durian runtuh.

Beliau khuatir, apa yang sedang diusahakan pihak tertentu pada masa ini hanyalah sebagai jalan untuk mengalirkan wang ke dalam poket kroni mereka sahaja.

Sementara itu Razman Zakaria yang berceramah sebelum itu, memberitahu perniagaan di bursa saham mempunyai risiko yang tinggi sehingga boleh menyebabkan tergadai.

“Jangan pelik jika mula-mula penyenaraian harga begitu tinggi tetapi akhirnya Felda bukan lagi menjadi milik rakyat tempatan kerana semua ini dengan ketiadaan pengetahuan dalam permainan saham, harga boleh dipermain sebagai mana berlaku ketika kegawatan ekonomi 1998.

“Saya bagi contoh ada saham sebuah syarikat iaitu Hwa Tai dulu di bursa saham pernah mencecah sehingga RM80 seunit tapi sekarang tak sampai RM2. Jadi itulah realiti permainan saham,” katanya.

Razman yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, tugas Felda sepatutnya menjana keseluruhan hasil nilai komoditi daripada 2 juta ekar tanah dan wang itulah sepatutnya menjadi “durian runtuh” untuk peneroka, bukannya dengan bermain saham.

“Tapi RM6 bilion wang tunai yang pernah dimiliki Felda dulu mana pergi?” soalnya.

Beliau menarik perhatian, kalau kerajaan berniaga yang terjadi ialah luputnya aset awam Bank Bumiputera dan MISC Perkapalan.

“Sebab itu, pada saya kalau Felda tidak dipertahankan daripada penyenaraian, boleh tergadai. Akhirnya jadilah seperti dalam filem Ali Baba Bujang lapok. Ibrahim Pendek lempar dadu sambil berkata mari kita tengok siapa yang kena...

“Akhirnya orang akan kata, lagi-lagi peneroka yang kena...” sambil disambut gelak ketawa

BERSIH 2.0

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...