Sabtu, 21 Januari 2012

Perutusan Tahun Baru Cina Presiden PAS



Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,21 Jan 2012
Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghua di Malaysia dan di seluruh dunia minggu ini, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan selamat menyambut hari kegembiraan tersebut. Perayaan yang turut melibatkan majlis makan besar dalam keluarga besar merupakan satu nilai positif yang juga turut disanjung ajaran Islam. Islam juga  menggalakkan hubungan kekeluargaan dipereratkan, malah jika sudah memeluk Islam sekalipun, hubungan kekeluargaan tidak pernah putus khususnya dengan kedua ibu bapa mereka.
Apa yang malangnya ialah pemerintahan negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap. Malah hidup dalam kegelisahan akibat permainan politik perkauman pihak pemerintah. Bahkan hubungan masyarakat Tionghua di Tanah Melayu ini telah wujud seawal pemerintahan kerajaan Islam Melaka melalui hubungan diplomatik Laksamana Cheng Ho dengan kerajaan Melaka.
Masyarakat Tionghua di Malaysia merupakan kelompok kedua terbesar di negara ini dan memberi kesan terhadap politik dan sosial negara. Perubahan yang mereka lakukan dalam pilihanraya ke-12 yang lalu membuka lembaran baru politik negara yang menyentak keselesaan pemerintah di peringkat pusat. Perubahan yang dilakukan adalah untuk melihat negara maju ke hadapan dan keluar daripada politik usang yang menindas, diskriminasi dan zalim kepada rakyat kepada politik yang adil dan saksama sesama rakyat.
Namun ianya belum cukup merubah keseluruhan sistem 'usang' negara dan menginsafkan pemimpin pusat yang terus menerus menindas negeri-negeri dan rakyat. Maka tibalah masanya kita membuat perubahan total diperingkat kerajaan pusat. Maka sekali lagi masyarakat Tionghua adalah penting dalam mengekalkan dan meningkatkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat dan seterusnya bersama membina negara yang adil untuk semua.
PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur. PAS juga kini melalui Kelab Penyokongnya telah berjaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat Tionghua khususnya dalam saling faham-memahami dan hormat-menghormati serta saling tolong-menolong di antara satu sama lain. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.
Gong Xi Fa Cai kepada semua.
Presiden PAS

Jumaat, 20 Januari 2012

Khalid Ibrahim Exco Agama Selangor - Apa Kata Khalid Samad




SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil pertimbangan yang tepat apabila mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam agar institusi agama Islam di Selangor iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dapat dipantau beliau sebaik mungkin.


Timbalan Pesuruhanjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad berkata, dengan kedudukan sebagai Menteri Besar, sudah pasti Abdul Khalid boleh mengendalikannya dan meluruskan perkara yang ‘bengkok’ dalam Jais dan Mais termasih soal zakat dan isu-isu yang ditimbulkan tetapi tidak diberikan jawapan wajar.

“Kalau diletakkan orang baru, kita khuatir dia mungkin akan dipermainkan oleh Umno yang akan menggunakan Jais dan Mais untuk kepentingan mereka dan itu akan menimbulkan masalah tetapi kalau Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang pegang, baru bertemu buku dengan ruas,” katanya.

Khalid berkata, lebih elok portfolio itu dipegang Abdul Khalid kerana beliau lebih arif dan berpengalaman mengendalikan berbanding individu lain yang memerlukan masa untuk menguasai portfolio tersebut.

“Tiada masalah Menteri Besar pegang kerana pilihan raya dijangka sudah menghampiri, Exco yang diberi tanggungjawab memerlukan masa untuk menyesuaikan dan memahami selok belok portfolio berkenaan. Ia akan menjadi sedikit masalah bagi orang baru untuk mengendalikannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, kenyataan Pas dipinggirkan apabila Abdul Khalid mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam hanyalah andaian pihak media.

“Tidak timbul soal Pas dipinggirkan kerana itu adalah andaian pihak media untuk memainkan isu sahaja. Setiap keputusan yang dibuat (oleh Abdul Khalid), yang sudah pun diperincikan dalam mesyuarat parti,” katanya.

Beliau berkata, rombakan dan pertukaran portfolio bukan suatu perkara yang mengejutkan kerana setiap kali sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, soalan ditujukan kepada Abdul Khalid.

“Itu jelas menunjukkan semua portfolio adalah tanggungjawab Menteri Besar. Kita harus faham, apabila disebut Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri, kebertanggungjawaban terletak di bahu menteri besar,” katanya.

BERSIH 2.0

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...