Jumaat, 16 September 2011

ISA: PAS anggap kemenangan rakyat tapi gesa kerajaan mohon maaf



KUALA LUMPUR, 15 Sept – Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata pengumuman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu kemenangan buat rakyat selepas desakan dan tuntutan bertubi-tubi parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan serta orang perseorangan agar penguatkuasaannya dibatalkan.
Bagaimanapun tegas beliau, selaras dengan pemansuhan undang-undang penahanan tanpa perbicaraan itu, kerajaan juga perlu meminta maaf kepada rakyat kerana menahan puluhan orang sepanjang lima dekad lalu.
“Ya, ini satu kemenangan bagi rakyat di mana kerajaan hanya tunduk apabila rakyat mendesak.. misalnya kami mengadakan gerakan anti-ISA dua tahun lalu.
“Pun begitu, apa yang penting, pada pandangan saya pentadbiran Najib perlu meminta maaf kepada seluruh negara kerana menguatkuasakan undang-undang ini sejak 1960,” kata beliau(gambar) kepada The Malaysian Insider.
Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pihaknya akan terus mengenakan desakan agar Putrajaya memansuhkan undang-undang yang bertentangan dengan hak asasi manusia.
Dalam pada itu, Senator Ezam Mohd Nor mengucapkan syabas dan atas keberanian Najib melakukan reformasi politik.
“Komitmen Perdana Menteri luar biasa kerana jarang parti yang memerintah akan lakukan perubahan drastik, yang selalu kita lihat ialah laungan reformasi kosong dari orang yang dipecat atau hilang kuasa ataupun dari kelompok yang belum berkuasa,” kata bekas tahanan ISA ini.
Ezam menambah, hari ini Najib membuktikan pemerintah yang sedang berkuasa mampu untuk melakukan perubahan dan “saya sendiri amat bersyukur dan gembira dengan  keputusan Perdana Menteri.”
“Saya sertai BN parti pemerintah sebulan selepas reform berlaku daripada BPR ke SPRM, isu rasuah yang dekat dinadi perjuangan saya.
“Hari ini ISA dan OSA antara akta yang akan digubal dan dihapus, kedua-dua akta di mana saya pernah ditahan dan perjuangkan untuk perubahan,” kata bekas ketua pemuda PKR.
Presiden MIC Senator Datuk G Palanivel menyifatkan perkembangan ini sebagai perubahan mengikut peredaran semasa.
“Ia juga membuktikan bahawa kerajaan mendengar suara rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas.
Dalam pada itu, pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib yang dipetik Bernama Online berkata, keputusan itu memperlihatkan keyakinan Najib terhadap keupayaan masyarakat, termasuk anggota legislatif pembangkang, dalam melaksanakan proses transformasi secara menyeluruh.
“Berdasarkan pemansuhan ISA ini, secara tidak langsung, badan eksekutif dah beri sebahagian kuasanya dalam soal keselamatan kepada badan kehakiman dan legislatif, termasuk kepada rakyat secara amnya.
“Dan sepatutnya, mereka dalam sektor perundangan negara termasuk peguam-peguam di Majlis Peguam, perlu lebih berdisiplin dan harus menjadi neutral secara total, jangan lagi ada dolak-dalik dan berselindung di sebalik kegiatan politik. Dalam aspek ini juga, komitmen juga harus diberikan pembangkang dalam menjayakan hasrat transformasi ini,” katanya.
Beliau juga berkata keputusan itu tidak seharusnya membuka jalan kepada pihak tertentu untuk melakukan kegiatan subversif, sebaliknya ia harus dilihat sebagai langkah tepat bagi mengukuhkan sistem demokrasi, berfungsi dan inklusif seperti yang dinyatakan Najib.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan khas  Hari Malaysia malam ini mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Perdana Menteri berkata undang-undang baru itu akan digubal di bawah ‘semangat serta payung’ Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Dalam perutusan itu, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen 27 Akta Polis 1967.
Mengulas lanjut, Md Shukri berkata seharusnya selepas ini tidak timbul lagi sebarang polemik nakal yang mendakwa sebarang langkah keselamatan oleh kerajaan adalah bersifat politik.
Selain itu, beliau berharap pembangkang mengemukakan alternatif bernas dalam proses penggubalan akta baru berdaya keselamatan yang lebih komprehensif dan bukan sekadar bermain sentimen politik.
Sementara itu, Presiden Makkal Sakhti Malaysia Datuk R.S. Thanenthiran berkata keputusan Najib membuktikan janji beliau ketika mula-mula memegang jawatan untuk menjadi ‘Perdana Menteri Rakyat’ benar-benar dilaksanakan.
Menyifatkan keputusan itu sebagai ‘sesuatu yang berani’, Thanenthiran berkata pemansuhan ISA sememangnya dinanti-nantikan oleh masyarakat.
“Ini satu transformasi yang begitu besar, begitu hebat, demi kesejahteraan rakyat, dan semua harus mengucapkan terima kasih atas ketelusan dan keberanian beliau.
“Saya percaya keputusan ini dibuat setelah pelbagai kajian dibuat dengan teliti dari semua aspek, masanya sesuai untuk pembaharuan. Dalam era kita menuju pemodenan, akta lapuk ini harus dimansuhkan,” katanya.
Beliau berkata keputusan itu bukan sahaja bakal melonjakkan imej BN malah Malaysia kerana masih ada negara maju yang mengamalkan ISA.
Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan Mokhtar Hussein menyambut baik keputusan kerajaan mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 secara menyeluruh dan berharap ia akan membawa perubahan positif.
“Sebarang perubahan positif terhadap akta itu akan memberi lebih ruang kepada pihak media di Malaysia untuk berperanan secara lebih konstruktif tanpa rasa takut.
“Ia juga akan mengangkat standard kewartawanan di negara ini ke tahap lebih tinggi dan meningkatkan tahap integriti media untuk memainkan peranan yang lebih baik dalam sebuah masyarakat demokratik,” katanya.

Sabtu, 10 September 2011

Kalau tak pernah dijajah, kenapa sambut merdeka



| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Sept: “Kalau kita tak pernah dijajah, buat apa sambut merdeka?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam bidasan sinis sebagai reaksi spontan kepada kenyataan sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling yang berhujah bahawa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu ‘tidak pernah terjajah’, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
“Sekiranya benar begitu, jadi maksudnya 31 Ogos 1957 bukanlah tarikh merdeka. Jadi Dr Zainal secara tidak langsung nak bagitahu rakyat dah terkena tipu 54 tahun oleh Umno ke?” sindir beliau lagi.
Malaysiakini melaporkan bahawa Zainal berhujah berkata “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”
“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," katanya.
Beliau turut mendakwa adalah kesalahan yang amat besar jika rakyat menyebut negara kita terjajah selama 400 tahun kerana menurutnya sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.
"Dinaungi tidak sama dengan kolonial... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.
"(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah.
"Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar," Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata.
Berdasarkan hujah Zainal, Tuan Ibrahim bertanya secara sinis ‘adakah tarikh merdeka sebenar ialah apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia ke 2?’
“Rakyat semakin ‘fening’ di bawah pemerintahan Umno. Sebenarnya ini menandakan bahawa pemikiran rakyat masih terjajah dengan pelbagai fakta mengelirukan,” kata beliau.
Sementara itu, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyindir hujah yang dibuat Dr Zainal.
“Prof Zainal Kling kata bahawa 'kita tidak pernah dijajah, siapa kata kita pernah dijajah itu kesalahan besar'..ertinya selama ini ramai yang tertipu..seruan menghalau penjajah, bebas dari penjajah, merdeka dari penjajahan itu semua itu tidak benar.. satu kesalahan besar..” tulis beliau secara sinis di laman Facebooknya.
“Kemerdekaan lawan bagi kehambaan atau penjajahan..ertinya tiada hari merdeka yang sebenar..kita tidak pernah dijajah..buku sejarah mesti diubah semula..entahlah..siapa yang hendak berteori silalah lagi..macam-macam ada..” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Pengarang Siasah, Mohd Sayuti Omar turut menyindir Zainal dengan soalan-soalan bertubi di blognya.
“Saya ingin tanya profesor yang mahir sejarah itu, apakah yang dilakukan oleh British semasa mereka melindungi Tanah Melayu dalam tempoh itu mereka tidak melaksanakan kerja-kerja menjajah Tanah Melayu.
“Siapa yang mengawal kewangan, hasil bumi serta menjaga keselamatan? “Bukankah pihak British. Apakah pengertian dilindingi berbanding dengan dijajah?
“Bukankah British melantik suruhanjayanya di negeri-negeri yang bertindak menjadi Pegawai Daerah yang mempunyai kuasa eksekutif?
Apakah hanya kerana tidak ada catatan itu maka ia diterima sebagai tidak kena dijajah atau digoreng oleh British. Semudah itukah penerimaan dan pentafsiran kita. Bukankah selama 'melindungi' itu penjajah membunuh ramai pahlawan Melayu, seperti Tok Janggut, Tok Sago dan lain-lain?
“Atau sejarah baru akan ditulis oleh Zainal dan sekutunya akan membuangkan pengikhtiraf mereka dibunuh penjajah itu sebagai penderhaka atau dalam semangat sehari dua ini komunis?” soal beliau lagi.
Jika benar apa yang dihujahkan Dr Zainal, Sayuti bertanya bagaimana pula dengan hakikat negara menyambut hari kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun?
“Kenapa tidak disebut atau Prof Kling maaf Zainal Kling mencadangkan kepada kerajaan ditukar menjadi sambutan hari ditidak dilindungi? Seharusnya beliau menerusi sekutunya sudah lama membuat cadangan dan bantahan apa dilakukan kerajaan itu?” soal beliau dengan sinis.

BERSIH 2.0

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...