Khamis, 22 Disember 2011

POLITIK ISLAM ADA FEQAHNYA

Ditulis oleh Presiden PAS
Khamis, 22 Disember 2011 16:50

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.



Firman Allah :

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ


(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim


Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.


Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.


Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

الشَّيْطَانُ ذِئْبُ ابْنِ آدَمَ كَذِئْبِ الْغَنَمِ ، فَإِنَّ الذِّئْبَ يَجِيءُ فَيَأْخُذُ الشَّاذَّةَ وَالنَّاحِيَةَ وَالْمُنْفَرِدَةَ ، فَالْزَمُوا الْعَامَّةَ

(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.


Khadam Perjuangan Islam

PRESIDEN PAS

Ahad, 18 Disember 2011

Biadab !!! Kartun Utusan Hina Dan Perlekeh Tok Guru Nik Aziz



Kartun Utusan Malaysia yang secara jelas menghina dan memperlekeh Tok Guru Nik Aziz
UTUSAN Malaysia sekali lagi cuba mencari masalah apabila media milik UMNO ini menyiarkan kartun yang secara jelas menghina Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai orang tua yang sudah terlalu uzur tapi masih mahu bertanding dalam pilihanraya akan datang.
Penghinaan ini adalah lanjutan dari desakan sama yang dibahaskan perwakilan UMNO dalam perhimpunan mereka beberapa minggu lepas.

Menyandarkan kepada polemik semasa di dalam PAS yang memperlihatkan pertelagahan beberapa pihak dengan kumpulan yang pro Datuk Dr. Hasan Ali berhubung pencalonannya dalam pilihanraya akan datang. Utusan mengambil peluang untuk menangguk di air yang keruh dengan menghinakan Tuan Guru pula,Sedangkan apa salah Tuan Guru?
Beliau secara jelasnya tidak berpihak dalam isu ini sebaliknya mengarahkan pemimpin yang mempunyai masalah sesama mereka agar merujukan masalah tersebut kepada Pesuruhjaya Negeri masing-masing untuk mencari jalan penyelesaian.

Seperti yang telah disebut, soal pencalonan Tuan Guru dalam piliharaya datang, bukan sama sekali masalah mana-mana pihak. Ia adalah keputusan yang dibuat dan ditentukan sepenuh oleh Majlis Syura Ulama dan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu yang ditubuhkan di dalam PAS.

Ketika ini memang kesihatan Tuan Guru sedikit terganggu, ini adalah lumrah kepada orang yang berusia 80 tahun sepertinya. Tapi itu sama sekali tidak menghalang Tuan Guru dari menjalankan tugas hakikinya sebagai Menteri Besar Kelantan dan ADUN Chempaka dalam masa yang sama.Tuan Guru masih lagi sihat dan aktif walaupun pergerakannya sedikit terbatas akibat dari keuzuran.

Penulis juga melihat apabila Utusan menggambarkan Tuan Guru seperti seorang tua bongkok, pada penulis itu adalah satu bentuk penghinaan bukan sahaja kepada Tuan Guru dan PAS, malah juga semua ulama secara keseluruhannya. Menjadi seorang ulama itu sendiri tidak ada tempoh luput melainkan maut, selagi mampu, dakwah perlu diteruskan walaupun terpaksa menongkat dagu.


Perkara inilah yang tidak mudah difahami UMNO yang terdidik dengan fahaman sekular dan nasionalis sejak dari penubuhannya lebih 60 tahun dulu. Idea dan buah fikiran seorang ulamak dan umarak dalam masa yang sama seperti Tuan Guru Nik Aziz tidak terganggu dek kemorosotan usia, melainkan dibuktikan sebaliknya.

Keadaan Tuan Guru sekarang adalah jauh berbeza daripada banyak desakan untuk bekas Perdana Menteri melepaskan jawatannya satu ketika dahulu. Tuan Guru tidak sama sekali pernah berada dalam keadaaan yang dialami Tun Mahathir dan UMNO/BN pimpinannya yang hilang sokongan majoriti besar rakyat seperti dibuktikan dalam pilihanraya 1999.

Lagipun Tuan Guru tidak pernah terbabit memfitnah sesiapa, tidak seperti Tun Mahathir pada satu ketika dulu. Jadi sekarang kita bercakap mengenai 2 keadaan yang jelas berbeza. Tidak bolehlah pencacai UMNO menyamakan keadaan dengan Mahathir dahulu dengan Tuan Guru sekarang.

Sekali lagi penulis nak ingatkan kepada UMNO dan Utusan Malaysia, Tuan Guru adalah aset PAS, keputusan untuk mencalonkan Tuan Guru adalah ditentukan oleh PAS dan PAS tidak memerlukan pihak luar untuk masuk campur dan menentukan apa yang patut dan tidak patut dibuat.UMNO sendiri ada banyak masalah yang perlu diselesaikan daripada menyibuk dalam hal rumah tangga orang lain.

Isnin, 12 Disember 2011

Negara Berkebajikan: PAS mahu rakyat jadi tuan


| Print |
Muhammad Faizal   
SHAH ALAM, 11 Dis: Konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat.

Bercakap sewaktu melancarkan buku 'Negara Berkebajikan: Tawaran PAS' di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini,  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran.

"Kita ingin mengubah konsep sekarang yang mana kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan untuk diniagakan, segala sumber pendapatan negara diambil melalui rakyat mengikut cukai-cukai yang ditetapkan.

"Kerajaan adalah khadam kepada rakyat, pemimpin adalah pemegang amanah jadi kita mahu hak rakyat dikembalikan mengikut saluran yang betul," katanya.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa.

"Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan konsep negara berkebajikan ini juga akan menjadi menifesto pada pilihanraya yang akan datang dan ia selaras dengan kesepakatan di dalam Buku Jingga.

Tawar 10 agenda

Dalam buku itu juga, PAS memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.

Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Mudah-mudahan ia akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.

"Jika rakyat menilai secara jelas negara kebajikan ini maka ia akan melancarkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya nanti," kata Abdul Hadi.

Sabtu, 10 Disember 2011

Orang akan kata, lagi-lagi peneroka yang kena


| Print |
Khairil Abdul Rahim   
BANDAR TUN RAZAK JENGKA, 9 Dis:Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Dr Rosli Yaakob mengingatkan agar pihak peneroka Felda tidak ghairah apabila diumumkan agensi itu akan disenarai di bursa saham sebaliknya mengambil iktibar nasib peneroka-peneroka di Felda Sendayan dan Felda Labu di Negeri Sembilan setelah terlepas ke pihak lain.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu, sebaliknya mengingatkan bahawa tanah merupakan sumber ekonomi mereka dan tidak sepatutnya dibiarkan memasuki perniagaan berisiko yang mungkin boleh terlepas kepada orang luar.

“Lihat apa jadi dengan peneroka-peneroka Felda Labu dan Sendayan yang pada satu ketika begitu ghairah untuk menjadi jutawan lalu tanah mereka dijual, bagaimana dengan nasib mereka?

“Ada yang menjadi kuli, ada yang terpaksa jadi pemandu teksi dan sebagainya jadi biarlah pelihara tanah Felda yang selama ini menjadi tempat orang-orang melayu bergantung hidup jadi apa perlunya dicagarkan untuk bermain saham.

“Tak wajar tanah Felda menjadi pertaruhan kerana tanah adalah sumber ekonomi kalau tergadai kepada kapitalis pemain saham yang rakus, yang biasanya menguasai sehingga 30%. Berapa banyak tanah-tanah yang telah tergadai sebab sesiapa saja boleh beli, “ jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program pelancaran ‘Gerakan Selamatkan Felda’ peringkat kebangsaan di perkarangan Masjid Lama Bandar Jengka, malam tadi.

Turut berceramah ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), Razman Zakaria.

Kira-kira 6,000 hadir mendengar program yang diadakan bagi memberi penerangan dan risiko kepada warga Felda mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke dalam Bursa Saham Malaysia sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

Dr Rosli berkata, jangan ingat semua projek kerajaan boleh berjaya walaupun diberi jaminan. Tambahnya ini terbukti dengan projek lembu NFC yang sedang hangat dibicarakan sekarang, yang konon pada mulanya mahu jadikan Gemas sebagai ‘beef valley’ atau lembah lembu.

“Di Negeri Sembilan saja berapa banyak projek kerajaan yang gagal antaranya projek tebu di Ayer Hitam, gagal. Pada Masa (Tan Sri) Isa Samad juga ada projek yang gagal iaitu
ladang babi terbesar di Bukit Pelandok,  Negeri Sembilan tetapi gagal membawa keuntungan bahkan hanya meninggalkan penyakit Japanese Encephalitis (JE) sahaja,” katanya.

Justeru Dr Rosli mahu semua warga Felda bersatu dengan apa cara sekalipun menghalang Felda daripada disenaraikan di bursa saham walaupun dijanjikan dengan durian runtuh.

Beliau khuatir, apa yang sedang diusahakan pihak tertentu pada masa ini hanyalah sebagai jalan untuk mengalirkan wang ke dalam poket kroni mereka sahaja.

Sementara itu Razman Zakaria yang berceramah sebelum itu, memberitahu perniagaan di bursa saham mempunyai risiko yang tinggi sehingga boleh menyebabkan tergadai.

“Jangan pelik jika mula-mula penyenaraian harga begitu tinggi tetapi akhirnya Felda bukan lagi menjadi milik rakyat tempatan kerana semua ini dengan ketiadaan pengetahuan dalam permainan saham, harga boleh dipermain sebagai mana berlaku ketika kegawatan ekonomi 1998.

“Saya bagi contoh ada saham sebuah syarikat iaitu Hwa Tai dulu di bursa saham pernah mencecah sehingga RM80 seunit tapi sekarang tak sampai RM2. Jadi itulah realiti permainan saham,” katanya.

Razman yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, tugas Felda sepatutnya menjana keseluruhan hasil nilai komoditi daripada 2 juta ekar tanah dan wang itulah sepatutnya menjadi “durian runtuh” untuk peneroka, bukannya dengan bermain saham.

“Tapi RM6 bilion wang tunai yang pernah dimiliki Felda dulu mana pergi?” soalnya.

Beliau menarik perhatian, kalau kerajaan berniaga yang terjadi ialah luputnya aset awam Bank Bumiputera dan MISC Perkapalan.

“Sebab itu, pada saya kalau Felda tidak dipertahankan daripada penyenaraian, boleh tergadai. Akhirnya jadilah seperti dalam filem Ali Baba Bujang lapok. Ibrahim Pendek lempar dadu sambil berkata mari kita tengok siapa yang kena...

“Akhirnya orang akan kata, lagi-lagi peneroka yang kena...” sambil disambut gelak ketawa

BERSIH 2.0

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...