Isnin, 12 Disember 2011

Negara Berkebajikan: PAS mahu rakyat jadi tuan


| Print |
Muhammad Faizal   
SHAH ALAM, 11 Dis: Konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat.

Bercakap sewaktu melancarkan buku 'Negara Berkebajikan: Tawaran PAS' di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini,  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran.

"Kita ingin mengubah konsep sekarang yang mana kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan untuk diniagakan, segala sumber pendapatan negara diambil melalui rakyat mengikut cukai-cukai yang ditetapkan.

"Kerajaan adalah khadam kepada rakyat, pemimpin adalah pemegang amanah jadi kita mahu hak rakyat dikembalikan mengikut saluran yang betul," katanya.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa.

"Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan konsep negara berkebajikan ini juga akan menjadi menifesto pada pilihanraya yang akan datang dan ia selaras dengan kesepakatan di dalam Buku Jingga.

Tawar 10 agenda

Dalam buku itu juga, PAS memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.

Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Mudah-mudahan ia akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.

"Jika rakyat menilai secara jelas negara kebajikan ini maka ia akan melancarkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya nanti," kata Abdul Hadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERSIH 2.0

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...