Isnin, 11 Julai 2011
Tok Guru, doakan ayah saya mati syahid
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 10 Julai: "Tok Guru, doakan agar ayah saya mati syahid," kata Nazrul Baharudin, 23 tahun kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS.
Nazrul berkata demikian ketika memberikan kata-kata aluan menyambut kedatangan Tuan Guru Nik Aziz ke rumah beliau di Kelumpok Camar, Keramat.
Nazrul adalah anak kedua Allahyarham Baharudin Ahmad, 56 tahun yang meninggal semasa perhimpunan Bersih 2.0 semalam.
(Nik Aziz berdoa untuk roh Allahyarham Baharudin dan keluarganya)
Baharudin meninggal selepas pengsan di perkarangan KLCC. Mengikut laporan awalnya, Baharudin sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata yang ditembak pasukan keselamatan ke arah orang ramai yang menyertai perhimpunan itu.
Namun, cerita lain mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur jam 3 pagi tadi selepas menjalani postmortem.
"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar Kassim, anak saudara Allahyarham Baharudin ketika ditemui Harakahdaily di rumah Allahyarham.
Sehingga kini, laporan postmortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. Ia menjadi tandatanya keluarga kerana kenapa laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.
Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya.
Menurut Azhar (gambar kanan), pakciknya itu bekas askar dan kini menjadi polis simpanan.
"Dia tiada ada asma, jantung atau kencing manis...yang ada darah tinggi sahaja sedikit...pendek kata dia sihatlah," kata Azhar.
Isterinya, Puan Rosni Melan pula memberitahu, suaminya keluar dari rumah selepas solat Zohor kelmarin dan menuju ke KLCC sedangkan beliau keluar lebih awal bersama rakan-rakan muslimat menujuk Stadium Merdeka.
"Macam mana kita mati, sakit jantung ke, kena pukul ke, semuanya akan didedahkan semula di akhirat kelak...ketika itu tidak siapa boleh berdalih," kata Nik Aziz menyambut kata-kata Nazrul kepada beliau itu.
Turut bersama Nik Aziz adalah pimpinan PAS Gombak termasuk Yang Dipertuanya, Ustaz Salahudin Nasir.
Nik Aziz yang baru pulang dari Mekah kerana menunaikan umrah terus datang ke rumah Allahyarham Baharudin dari KLIA untuk mengucapkan takziah kepada keluarganya.
Turut berada di rumah adalah isteri Allahyarham, Puan Rosni dan dua lagi anaknya selain Nazrul.
"Kita hidup ini adalah satu latihan untuk hidup di akhirat dengan baik," kata Nik Aziz dalam ucapan ringkasnya.
Selain mengucapkan takziah, Nik Aziz juga menghulurkan sumbangan pribadi kepada keluarga Allahyarham yang disampaikan kepada Nazrul.
"Saya dengar hal ni masa di Mekah lagi dan memang berhajat untuk datang ke sini," kata Nik Aziz terharu denga sambutan terhadap beliau dari keluarga Allahyarham terutama ucapan ringkas Nazrul.
Nazrul sebelum itu berkata, Allahyarham bapanya sangat meminati Nik Aziz dan selalu bercakap tentang kehebatannya.
(Nazrul dan adiknya ketika bercakap menyambut kedatangan Nik Aziz)
"Kami sekeluarga sangat berbesar hati atas kunjungan tuan guru hari ini dan mengucapkan berbanyak terima kasih," kata Nazrul.
Walaupun kunjungan Nik Aziz dan isterinya amat singkat namun ianya memberikan kesan yang sangat besar kepada keluarga Nazrul dan juga perjuangan untuk mendapatkan pilihanraya yang adil dan bersih di negara ini.
"Sejak saya berjuang di dalam PAS sejak tahun 70an lagi, saya tidak pernah rasa pilihan raya di negara kita ini berjalan dengan bersih dan adil," kata Nik Aziz kepada wartawan yang menemui beliau sebelum meninggalkan flat Blok A, Kelumpok Camar, Keramat itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan